SIARAN AKHBAR
 

 PEJABAT SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM

SIARAN AKHBAR

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menggunakan sistem SPA Recruitment

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan memperkenalkan keadah dan prosedur baru bagi orang ramai untuk membuat permohonan bagi mengisikan jawatan-jawatan kosong di bawah pengendalian SPA dan seterusnya bagi SPA memproses permohonan berkenaan iaitu melalui penggunaan kaedah permohonan jawatan dan pemerosesan secara online menggunakan sistem yang dikenali dengan sistem SPA Recruitment. Sistem ini dijangka akan mula digunakan pada hujung bulan Februari 2015. Tarikh rasmi bagi penggunaan Portal SPA Recruitment akan dimaklumkan kemudian.

 

Portal SPA Recruitment adalah menggunakan aplikasi internet yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Sistem ini akan menggantikan sistem pengambilan yang digunakan pada masa ini dan apabila diaktifkan nanti, semua permohonan pengisian jawatan hendaklah dibuat melalui Portal SPA Recruitment ini dan SPA tidak lagi akan menerima permohonan secara manual. Sistem ini dihasratkan untuk mempercepatkan proses pengambilan dan pengisian jawatan kosong yang dikendalikan oleh SPA.

 

Portal ini menggunakan interface yang mesra-pengguna dan setiap pemohon akan mempunyai ruang ‘My Profile’ masing-masing di mana segala maklumat peribadi, maklumat pekerjaan, kelulusan akademik dan lain-lain maklumat yang releven akan dimuatkan. Pemohon juga boleh memuat-naik gambar wajah dan segala dokumen relevan dalam bentuk format PDF ke dalam ruang ‘My Profile’ masing-masing. Setiap pemohon akan menggunakan ‘username’ dan ‘password’ akaun e-darussalam untuk mengakses Portal SPA Recruitment sebaik sahaja portal ini diaktifkan nanti. Sebagai persediaan sebelum Portal SPA Recruitment ini diaktifkan pada hujung bulan Februari nanti, orang awam khususnya pencari-pencari kerja dan juga warga perkhidmatan awam adalah dinasihatkan untuk terlebih dahulu mendaftar akaun e-darussalam bagi mendapatkan ‘Username’ dan ‘Password’. Setelah mendaftar dengan e-darussalam, pengguna adalah dikehendaki untuk mengaktifkan akaun e-darussalam dengan membawa Kad Pengenalan Pintar ke pusat-pusat verifikasi di keempat-empat daerah untuk melengkapkan proses pendaftaran. Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan pusat-pusat verifikasi boleh didapati dari laman sesawang www.gov.bn.

 

Di samping itu, pemohan dari kalangan warga Perkhidmatan Awam adalah juga dinasihatkan untuk memastikan maklumat peribadi dan juga Rekod Perkhidmatan masing-masing di dalam sistem Government Employee Management System (GEMS) adalah betul dan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa. Ini adalah kerana maklumat-maklumat tertentu dalam rekod perkhidmatan GEMS berkenaan akan diekstrak secara automatik oleh sistem SPA Recruitment ke dalam ‘My Profile’ pemohon dan seterusnya digunakan di dalam memproses permohonan jawatan. Maklumat perkhidmatan dalam GEMS yang tidak betul dan terkini akan mengakibatkan permohonan pengisian jawatan ditolak secara automatik oleh sistem SPA Recruitment.

 

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Portal SPA Recruitment, e-darussalam dan GEMS, orang ramai boleh menghubungi Pejabat SPA di talian 2381961, GEMS Helpdesk di gems@psd.gov.bn atau di talian 2382407, atau melayari laman-laman web www.gov.bn, www.psd.gov.bn, www.spa.gov.bn atau Facebook fanpage Pejabat SPA, Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.


 

 
Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
 
Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
 
Negara Brunei Darussalam
 
29hb. Januari 2015